Header Ads

Bagaimana Anda Dapat Membeli Rumah Melalui “Lease Option”?



Di dalam pembelian rumah konvensional, setelah tawaran dipersetujui, pembeli dan pemilik rumah akan bertemu untuk menyelesaikan urusan pembayaran. Kemudian, setelah selesai setiap transaksi, hak milik hartanah tersebut akan dimiliki oleh pembeli. Kebiasaannya, pembeli akan memohon pinjaman kewangan dari pihak bank untuk membuat bayaran penuh kepada tuan rumah tersebut.



Namun, terdapat alternatif lain untuk memiliki rumah di Malaysia, iaitu “Lease Option” dan juga dikenali sebagai “rent -to-own” atau “lease-to-own”. Di dalam perjanjian Lease Option, pembeli bersetuju untuk menyewa rumah mengikut tempoh yang telah dipersetujui bersama pemilik rumah sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah tersebut setelah atau sebelum perjanjian Lease Option tersebut tamat. 


Bagaimana Lease Option Berfungsi?


Untuk setiap perjanjian Lease Option, bakal pembeli akan dapat memasuki rumah tersebut serta-merta selepas semua terma telah dipersetujui bersama pemilik rumah. Penyewa kebiasaanya perlu menyewa hartanah tersebut untuk satu tempoh masa tertentu (kebiasaannya 3 hingga 5 tahun), di mana penyewa tersebut mempunyai pilihan untuk membeli rumah yang diduduki.


Sebelum menandatangani sebarang kontrak lease option, bakal pembeli haruslah memasti kontrak tersebut adalah kontrak lease-option ataupun kontrak lease-purchase. Perkara ini sangat penting kerana sekiranya ianya merupakan kontrak lease-purchase, pembeli mempunyai obligasi untuk membeli rumah berkenaan selepas perjanjian tamat dan sekiranya pembeli gagal membeli rumah tersebut, tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas individu berkenaan. 


Apakah Wang Pilihan atau Option Money?


Di dalam perjanjian lease option, bakal pembeli akan membayar kepada pemilik rumah secara one off, wang pilihan ataupun option money di mana ianya tidak boleh dituntut kembali oleh pembeli tersebut. Pembayaran ini bertujuan untuk memberi peluang kepada bakal pembeli untuk memiliki rumah berkenaan di masa hadapan.


Jumlah wang pilihan atau Option Money bergantung kepada jumlah yang telah dipersetui oleh bakal pembeli dan pemilik rumah. Tiada kadar tetap yang telah ditetapkan. Namun kebiasaannya ianya berjumlah di antara 2.5% hingga 7% (3% merupakan nilai yang biasa digunapakai). Option Money ini juga boleh digunakan oleh bakal pembeli rumah sebagai sebahagian daripada pembayaran untuk rumah berkenaan. 


Sebagai contoh, sekiranya hartanah tersebut bernilai RM200,000 dan option money dikenakan sebanyak 7%, bakal pembeli perlu membayar RM14,000 pada permulaan kontrak lease option berkenaan. Ianya jelas lebih rendah daripada membayar RM20,000 sebagai wang pendahuluan atau deposit sebanyak 10% sekiranya anda membeli rumah berkenaan melalui kaedah konvensional.


Kaedah Penyewaan Melalui Lease Option


Bakal pembeli perlu membayar sewa setiap bulan kepada pemilik rumah. Dalam kebanyakan kontrak lease option, peratusan dari setiap bayaran sewa bulanan, dipanggil kredit sewaan, akan ditolak daripada harga keseluruhan rumah berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya bakal pembeli perlu membayar sewa RM1,200 setiap bulan dan 25% dari jumlah tersebut akan dikreditkan untuk bayaran rumah, di mana tempoh perjanjian sewa adalah 3 tahun, pembeli berkenaan akan memperolehi RM10,800 kredit sewaan yang boleh digunakan sebagai sebahagian daripada pembayaran rumah.

RM1,200 x 0.25 = RM300; RM300 x 36 bulan = RM10,800


Membeli Hartanah Melalui Lease Option




Sekiranya bakal pembeli tidak ingin meneruskan dengan pembelian selepas kontrak lease option telah tamat (atau pembeli gagal mendapatkan pinjaman kewangan), semua perjanjian di dalam kontrak berkenaan akan terbatal secara automatik. Bakal pembeli berkenaan juga tidak boleh menuntut kembali segala perbelanjaan yang dikeluarkan untuk rumah berkenaan, termasuk option money dan kredit sewaan.


Jika pembeli ingin meneruskan dengan pembelian rumah berkenaan, beliau perlu memohon kepada pihak bank untuk membiayai bayaran penuh rumah berkenaan kepada pemilik. Berdasarkan terma di dalam kontrak, sebahagian daripada harga penuh rumah berkenaan boleh ditolak daripada option money dan kredit sewaan. Selepas semua telah selesai, pembeli berkenaan akan mendapat hak milik ke atas hartanah berkenaan.


Lease Option di Malaysia


Untuk pasaran lease option di Malaysia, Wonderlist Property merupakan penyedia pelantar digital pertama untuk lease option di Malaysia melalui https://lease.wonderlist.property/




Pengguna akan dapat memilih banyak senarai hartanah lease option di Malaysia melalui pelantar digital berkenaan.

No comments:

Powered by Blogger.