Header Ads

Lease Option – Bagaimana Ianya Berfungsi?




Anda telah menemui rumah idaman anda, namun kelayakan pinjaman perumahan anda yang terhad dan faktor tidak mempunyai sebarang wang simpanan telah menghalang anda daripada memilikinya. Namun, anda tidak perlu risau kerana terdapat satu alternatif untuk anda memiliki rumah idaman tersebut iaitu melalui skim ‘Lease Option’.



Secara ringkas, ‘Lease Option’ merupakan satu sistem penyewaan yang memberi pilihan kepada anda untuk membeli kediaman berkenaan setelah tamat tempoh penyewaan. Selain itu, sebahagian daripada kadar sewa bulanan juga boleh dijadikan sebagai ansuran untuk pembiayaan wang pendahuluan. Ini sekaligus dapat membantu anda meringankan beban berbanding pembelian rumah secara konvensional yang memerlukan anda membayar wang pendahuluan 10% terlebih dahulu.



Langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah mencari kediaman yang boleh dibeli melalui skim ‘Lease Option’. Pada masa kini, ianya bukanlah sesuatu yang sukar untuk mencari rumah yang ditawarkan melalui ‘Lease Option’ disebabkan skim ini telah diguna pakai oleh pemaju-pemaju perumahan untuk menarik minat pembeli dan juga ditawarkan oleh kerajaan persekutuan.



Disamping itu, anda juga boleh mencari rumah yang boleh dibeli melalui skim ‘Lease Option’ melalui platform digital hartanah seperti Wonderlist.my. Di sini, anda boleh menemukan banyak kediaman yang boleh dimiliki melalui skim ‘Lease Option’.



Selepas anda menemui rumah pilihan anda yang boleh dibeli melalui skim ‘Lease Option’, anda perlu memeriksa latar belakang pemilik rumah berkenaan untuk memastikan individu tersebut merupakan pemilik rumah yang sebenar. Ini adalah untuk mengelak daripada anda ditipu di dalam urusniaga skim ‘Lease Option’ di mana anda berurusan dengan individu yang menyamar sebagai pemilik rumah. Salah satu cara yang boleh anda lakukan untuk mengesahkan identiti sebenar pemilik rumah ialah meminta peguam anda untuk melakukan carian tanah persendirian ke atas rumah berkenaan di Pejabat Tanah untuk mengetahui pemilik sebenar.



Sekiranya anda masih ragu-ragu mengenai kesahihan identiti pemilik rumah, anda boleh meminta peguam anda untuk memeriksa identiti individu tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengelak sebarang penyalahgunaan identiti palsu. Selain itu, anda juga boleh memastikan pemilik rumah berkenaan mempunyai rekod kewangan yang bersih dan bukannya individu yang bankrap mahupun disenarai hitam melalui semakan online sistem CCRIS atau CTOS.
Selain memeriksa latar belakang pemilik rumah, anda juga perlu memeriksa rumah berkenaan terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada anda menanggung sebarang hutang lama daripada pemilik asal. Untuk perkara ini, anda boleh meminta peguam anda untuk melakukan carian tanah persendirian di Pejabat Tanah untuk mengetahui sebarang pinjaman tertunggak ataupun sekatan daripada kerajaan tempatan ke atas rumah berkenaan. Anda juga boleh melawat rumah berkenaan untuk mengetahui keadaan sebenar dan mengelak daripada membeli rumah usang yang tidak boleh diduduki selepas dibeli.



Setelah anda berpuas hati dengan semua perkara iaitu pemilik dan rumah berkenaan, anda boleh berurusan dengan pemilik tersebut mengenai perjanjian ‘Lease Option’ yang perlu ditandatangani bersama. Kebiasaannya, perjanjian ‘Lease Option’ akan berkuatkuasa selama 3 ke 5 tahun dengan pilihan untuk anda membeli rumah berkenaan setelah perjanjian tamat pada tahun ketiga atau kelima. Anda juga boleh memilih untuk menetapkan harga yang perlu dibayar untuk memiliki rumah berkenaan dengan persetujuan daripada pemilik. Justeru, ianya pasti memberi faedah kepada anda sekiranya harga rumah tersebut meningkat dalam masa 3 atau 5 tahun kerana anda hanya perlu membayar jumlah yang telah dipersetujui ketika menandatangani perjanjian tersebut.



Setelah perjanjian ‘Lease Option’ itu telah dipersetujui oleh kedua belah pihak, ianya boleh dikuatkuasakan dan ianya dianggap sebagai satu kontrak yang sah di sisi undang-undang. Sekiranya pemilik rumah enggan untuk menyerahkan hak milik rumah berkenaan setelah perjanjian ‘Lease Option’ tamat pada tahun ketiga atau kelima, satu pelaksanaan spesifik (Specific Performance) boleh dilakukan untuk memaksa pemilik rumah berkenaan menyerahkan hak milik rumah melalui arahan pihak Mahkamah. Namun, sekiranya anda sebagai pembeli bertindak untuk membatalkan pembelian rumah berkenaan setelah perjanjian ‘Lease Option’ tamat, tiada tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas anda kerana tiada kewajipan untuk anda membeli rumah berkenaan melalui kontrak yang telah dipersetujui.




Sekiranya anda meneruskan untuk membeli rumah berkenaan setelah perjanjian ‘Lease Option’ telah tamat, pemilik perlu menyerahkan hak milik rumah berkenaan kepada anda secara mutlak. Justeru, anda boleh meminta peguam anda untuk menjalankan proses pindah milik. Anda juga perlu menyelesaikan sebarang baki bayaran tertunggak daripada perjanjian ‘Lease Option’ dan kos-kos lain yang berkaitan.

No comments:

Powered by Blogger.